Sunday, July 12, 2015

DAP TAK FAHAM HUDUD?

Jawapan penuh TOK GURU NIK AZIZ terhadap kenyataan Dr MAZA yang kononnya DAP tak faham Hudud Di wad HUSM, saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian hari ini 6 Syawwal 1433H bersamaan 24 Ogos 2012M berhubung isu hudud yang sedang dijadikan 'modal politik' oleh UMNO dan Barisan Nasional hari ini. Di dalam kenyataan tersebut, Dr Mohd Asri dipetik sebagai berkata bahawa Pas telah memberikan gambaran yang salah mengenai hukum hudud sehingga ia ditentang keras pemimpin tertinggi DAP dan mengelirukan orang bukan Islam. Barangkali kenyataan beliau dipetik separuh atau sebahagian kecil, wallahualam. Bagaimanapun saya berterima kasih kepada Dr Mohd Asri yang saya yakin berniat ikhlas di dalam membuat teguran. Pada saya, para ilmuan seperti beliau berhak untuk membahaskan isu dengan secara ilmiah dan bukannya membiarkan orang-orang jahil melontarkan pandangan dengan tujuan bukan untuk menimbulkan kefahaman bahkan menambahkan kekeliruan. Apapun, saya ingin memberikan respon terhadap kenyataan beliau yang disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian tersebut. Apabila Dr Mohd Asri menyatakan bahawa Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) yang telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan, menimbulkan salah faham hingga kini, ingin saya nyatakan enakmen tersebut digubal pada masa itu mengambil kira pandangan pakar-pakar perlembagaan dan undang-undang seperti Al-Marhum Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim dan Almarhum Dato Paduka Seri Setia Prof. Dr. Mahmud Saedon Awang Othman. Kedua-dua ini pada masa itu dianggap sebagai rujukan utama di dalam undang-undang syariah. Antara nama lain yang terlibat pula ialah Tun Salleh Abbas, Dr Abdullah Abu Bakar, Alamrhum Dato' Hasbullah Mohd Hassan, Haji Wan Mutalib Embong, Dato' Harun Taib dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Dato' Daud Muhamad. Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Timbalan Menteri Besar pada masa itu, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman. Saya tidak bermaksud untuk menyatakan bahawa enakmen tersebut telah sempurna tanpa sebarang kecacatan, namun untuk menyatakan bahawa ia digubal sambil lewa amatlah tidak benar sama sekali. Kerajaan Kelantan telah mengambil inisiatif sebaik mungkin untuk mengumpul pandangan pakar-pakar bagi menjadikan enakmen ini satu kenyataan. Saya sentiasa terbuka untuk menerima sebarang pandangan dan kritikan sekiranya ia mempunyai kelemahan. Datangkanlah alrtenatif dan buatlah pembetulan terhadap kelemahan. Jika ingin dibincang sekalipun, silakan. Para penggubal ada lagi yang masih hidup alhamdulillah, pintu perbincangan masih terbuka. Namun menghantar surat menghalang pelaksanaan hudud bukan merupakan cara seorang muslim! Ia lebih mirip kepada gerak langkah politik jahat yang tidak berminat kepada hukum Allah SWT. Sesuai sangatlah apabila individu ini menulis, "better the devil you know than the angel you don’t..." (lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal). Sudah 19 tahun ia dibentangkan, tempoh yang cukup panjang ini jika dinisbahkan kepada seorang manusia yang belajar, umur ini sudah menjejakkan kaki di universiti. Namun UMNO khususnya bekas presidennya yang sudah bersara tidak pernah mengambil langkah positif membentangkan hudud versi UMNO yang dikatakan adil itu! Tempoh 19 tahun, satu hurufpun hudud ala UMNO masih belum wujud, jika manusia belajar selama 19 tahun, tetapi sedikitpun tidak mengerti, apa gelaran yang akan diberi? Mengaku sahaja UMNO tidak berminat untuk melaksanakan hudud, apa yang dibisingkan hari ini hanya sekadar nyanyian politik semata-mata. Tangan menuding kepada orang lain, diri sendiri berkudis seribu. Justeru, saya menyokong kenyataan Dr Mohd Asri yang menyebut bahawa ada golongan yang mengkritik hudud sudah rosak akidahnya.Rosakakidah inilah penyakit merbahaya dalam masyarakat. Ia lebih merbahaya dari sebarang virus di dunia. Walau apapun bangsa di dunia ; Arab, Melayu, Cina atau India sekalipun, kerosakan akidah ini padahnya ialah azab Allah SWT. Semoga Allah SWT memberikan kejayaan kepada perjuangan menegakkan agamaNya di dunia ini Insya-Allah. Sekian.... Salam dari saya, NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian. 6 Syawwal 1433H / 24 Ogos 2012M ..... Artikel ini dikeluarkan semula kerana ramai sangat geng PASMA dan G18 berbohong menggunakan batang tubuh TGNA - PenorehGetah

Thursday, May 21, 2015

DALIL BAHAWA ORANG MUKMIN, PERLU ADA KEMARAHAN* 


Allah (s.w.t) menyifatkan para sahabat Nabi (s.a.w) dengan 'syiddah' (bersikap keras) dan panas hati. 

Firman-Nya:

مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ 

"Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)." [Surat Al-Fath 29]

Firman-Nya lagi;

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ 

"Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka." [Surat At-Taubah 73]

Dalam mengulas ayat ini, Imam Ghazali ada menyebut: "Sikap keras dan tegas itu, termasuk di antaranya bekas-bekas dari kepanasan hati; iaitu, kemarahan.

_______________________________________
* Kemarahan yang terkawal dan tidak melampaui batas.

BERSIKAP RUHAMA, SESAMA BERIMAN; BERSIKAP TEGAS & KERAS TERHADAP YANG MEMUSUHI AJARAN ISLAM

Di antara sifat lain yang sepatutnya dihayati oleh para pendokong gerakan Islam adalah bersikap keras (kasar) ke atas orang-orang yang engkar dengan Allah; yang degil dengan ayat-ayatNya; juga yang mendustakan RasulNya. 

Para pendokong gerakan Islam itu adalah mereka yang akan mencegah diri dari dikuasai atau tunduk kepada orang-orang kafir. 

Dalam ertikata lain, para pendokong gerakan Islam itu adalah mereka yang tidak akan mengalah dengan orang-orang kafir dalam perkara-perkara yang prinsip. 

Allah (s.w.t) berfirman:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَا اسْتَطَعْتُمْ مِن قُوَّةٍ وَمِن رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ

Dalam ayat di atas, jelas menunjukkan bahawa para pejuang Islam itu hendaklah membuatkan orang-orang kafir takut kepada mereka. 

Sebaliknya, bukanlah para pejuang itu yang merasa takut kepada orang-orang kafir, walau di atas alasan apa sekalipun. Dan Allah (s.w.t) berfirman lagi:

أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ

Dalam keadaan yang memerlukan, bersikap kasar dan keras ke atas musuh Allah adalah di antara perkara yang dapat menghampirkan seseorang Mukmin itu kepada Allah; kerana hakikatnya seorang mukmin itu bersepakat dengan Tuhannya dalam kemarahan dan kebencianNya terhadap mereka yang kufur dan engkar. 

Namun, para pendokong gerakan Islam hendaklah menghimpunkan atau mengimbangkan sikap keras (kasar) dan sikap  berlemah lembut itu di dalam mendakwahi mereka. 

Setiap satu dari sikap itu adalah penting kepada mereka, di mana manfaatnya akan kembali kepada mereka.

Wednesday, May 20, 2015

Dialog al-Buti & al-Albani

Ada satu perdebatan yang menarik tentang ijtihad dan taqlid antara Syeikh Muhammad Said Ramadan al-Buti, seorang ulama Sunni di Suriah, bersama Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, seorang tokoh Wahhabi dari Jordan.

Syeikh al-Buti bertanya: “Bagaimana cara anda memahami hukum-hukum Allah, apakah anda mengambilnya secara langsung dari al-Quran dan as-Sunnah, atau melalui hasil ijtihad para imam-imam mujtahid?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Aku membandingkan antara pendapat semua imam mujtahid serta dalil-dalil mereka lalu aku ambil yang paling dekat kepada al-Quran dan as-Sunnah.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Seandainya anda punyai duit 5000 Lira. Duit itu anda simpan selama 6 bulan. Kemudian duit itu anda belikan barang untuk diperdagangkan, maka sejak bila barang itu anda keluarkan zakatnya. Adakah setelah 6 bulan berikutnya, atau menunggu 1 tahun lagi?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Maksud pertanyaannya, kamu menetapkan bahawa harta dagang itu ada zakatnya?”

Syeikh al-Buti berkata: “Saya hanya bertanya. Yang saya inginkan, anda menjawab dengan cara anda sendiri. Di sini kami sediakan kitab-kitab tafsir, hadis dan fikah, silakan telaah.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Hai saudaraku, ini masalah agama. Bukan persoalan mudah yang boleh dijawab dengan seenaknya. Kami masih perlu mengkaji dan meneliti. Kami datang ke sini untuk membahas masalah lain.”

Mendengar jawapan tersebut, Syeikh al-Buti beralih pada pertanyaan lain: “Baik kalau memang begitu. Sekarang saya bertanya, apakah setiap muslim harus atau wajib membandingkan dan meneliti dalil-dalil para imam mujtahid, kemudian mengambil pendapat yang paling sesuai dengan al-Quran dan as-Sunnah?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Ya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Maksud jawapan anda, semua orang memiliki kemampuan berijtihad seperti yang dimiliki oleh para imam mazhab? Bahkan kemampuan semua orang lebih sempurna dan melebihi kemampuan ijtihad para imam mazhab. Kerana secara logiknya, seseorang yang mampu menghakimi pendapat-pendapat para imam mazhab dengan barometer al-Quran dan as-Sunnah, jelas dia lebih alim dari mereka.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Sebenarnya manusia itu terbahagi kepada 3, iaitu مُقَلِّدٌ (muqallid – orang yang taklid), مُتَّبِعٌ (muttabi’- orang yang mengikuti) dan مُجْتَهِدٌ  (mujtahid). Orang yang mampu membandingkan mazhab-mazhab yang ada dan memilih yang lebih dekat kepada al-Quran adalah muttabi’. Justeru muttabi’ itu darjat tengah, antara taklid dan ijtihad.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apa kewajiban muqallid?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Dia wajib mengikuti para mujtahid yang boleh diikutinya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Adakah dia berdosa kalau seumpama mengikuti seorang mujtahid saja dan tidak pernah berpindah ke mujtahid lain?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Ya, dia berdosa dan haram hukumnya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apakah dalil yang mengharamkannya?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Dalilnya, dia mewajibkan pada dirinya, sesuatu yang tidak diwajibkan Allah padanya.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Dalam membaca al-Quran, anda mengikuti qiraahnya siapa di antara qiraah yang 7?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Qiraah Hafs.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Apakah anda hanya mengikuti Qiraah Hafs saja? Atau setiap hari, Anda mengikuti qiraah yang berbeza-beza?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Tidak. Saya hanya mengikuti Qiraah Hafs saja.”

Syeikh al-Buti bertanya: “Mengapa anda hanya mengikuti Qiraah Hafs saja, padahal Allah tidak mewajibkan anda mengikuti Qiraah Hafs. Kewajipan anda  membaca al-Quran sesuai riwayat yang datang dari Nabi ﷺsecara mutawatir.”

Syeikh al-Albani menjawab: “Saya tidak sempat mempelajari qiraah-qiraah yang lain. Saya tak boleh membaca al-Quran dengan selain Qiraah Hafs.”

Syeikh al-Buti berkata: “Orang yang mempelajari fikah Mazhab Syafie, juga tak sempat mempelajari mazhab-mazhab yang lain. Dia juga tidak mudah memahami hukum-hukum agamanya kecuali mempelajari fikahnya Imam Syafie. Apabila anda mengharuskannya mengetahui semua ijtihad para imam, maka anda sendiri harus pula mempelajari semua qiraah, sehingga anda membaca al-Quran dengan semua
qiraah itu. Kalau anda beralasan tidak mampu melakukannya, maka anda harus menerima alasan ketidakmampuan muqallid dalam masalah ini. Bagaimanapun, kami sekarang bertanya kepada anda, dari mana anda berpendapat bahawa seorang muqallid harus berpindah-pindah dari satu mazhab ke mazhab lain, padahal Allah tidak mewajibkannya. Maksudnya sebagaimana ia tidak wajib menetap pada satu mazhab saja, ia juga tidak wajib berpindah-pindah terus dari satu mazhab ke mazhab lain?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Sebenarnya yang diharamkan bagi muqallid itu menetapi satu mazhab dengan keyakinan bahwa Allah memerintahkan demikian.”

Syeikh al-Buti berkata: “Jawapan anda ini persoalan lain. Dan memang benar demikian. Akan tetapi, pertanyaan saya, apakah seorang muqallid itu berdosa jika menetapi satu mujtahid saja, padahal dia tahu bahawa Allah tidak mewajibkan demikian?”

Syeikh al-Albani menjawab: “Tidak berdosa.”

Syeikh al-Buti berkata: “Tetapi isi buku yang anda ajarkan, berbeza dengan yang anda katakan. Dalam buku tersebut disebutkan, menetapi satu mazhab saja itu hukumnya haram. Bahkan dalam bahagian lain buku tersebut, orang yang menetapi satu mazhab saja itu dihukumi kafir.”

Menjawab pertanyaan tersebut, Syeikh al-Albani kebingungan menjawabnya. Demikianlah dialog panjang antara Syeikh al-Buti dengan Syeikh al-Albani, yang didokumentasikan dalam kitab beliau اللَّامَذهبية أخطر بدعة تهدد الشريعة الإسلامية. Dialog tersebut menggambarkan, bahawa kaum Wahhabi melarang umat Islam mengikuti mazhab tertentu dalam bidang fikah. Tetapi ajakan tersebut, sebenarnya helah mereka agar umat Islam mengikuti mazhab yang mereka buat sendiri. Tentu saja mengikuti mazhab para ulama salaf, lebih menenteramkan bagi kaum muslimin. Keilmuan, ketulusan dan kesolehan ulama salaf jelas diyakini melebihi orang-orang sesudah mereka.

Tuesday, May 5, 2015

NOTA 1

Ramai yang tiada kesempatan berjuang tetapi diberi pahala berjuang oleh Allah. Sebaliknya, ramai yang berjuang tetapi tiada beroleh apa-apa pahala.

Hadis, dirawikan Ahmad, dari Ibnu Ma'ud:

أكثر شهداء أمتى أصحاب الفرش و رب قتيل بين الصفين الله أعلم بنيته...

"Ramai yang syahid dari umatku adalah mereka yang mati ditempat tidurnya (kerana niatnya yang baik untuk mencari shahid). Dan banyaklah orang yang terbunuh di medan perang; Allah maha tahu akan tujuannya."

Mendapat pahala yang sama:-

1. Seseorang yang dikurniakan dengan ilmu dan harta, kemudian dia mengamalkan ilmu dan membelanjakan harta yang dikurniakan Allah kepadanya, dijalan Allah.


2. Seseorang yang tidak dikurniakan dengan ilmu dan harta, namun dia berniat dengan benar bahawa dia akan mengamalkan ilmu dan membelanjakan hartanya dijalan Allah, jika dikurniakan dengan kedua-duanya.

Sebuah hadis dengan isnad yang baik:

من كانت الدنيا نيته جعل الله ققره بين عينيه
"Barangsiapa yang dunia itu adalah tujuannya, nescaya dijadikan Allah kemiskinannya di antara dua matanya."

2. Sebuah hadis dengan isnad yang baik:

و من تكن اﻵخرة نيته جعل الله جعل الله تعالي غناه فى قلبه

"Barangsiapa yang akhirat itu adalah tujuannya, nescaya dijadikan Allah kekayaannya di antara hatinya."

Friday, April 17, 2015

HUKUM WANITA KERJA LUAR WAKTU MALAM...

Hukum wanita bekerja di luar rumah pada waktu malam adalah haram, kecuali;

1. Aman dari fitnah; dan mendapat izin dari suami atau wali, maka hukumnya boleh.

2. Dijangka berlaku fitnah, maka hukumnya haram dan berdosa.

3. Takut terjadi fitnah, maka hukumnya makruh.

HUKUM PENGAMBILAN TANAH RAKYAT

Hukum pengambilan tanah rakyat oleh pemerintah demi kepentingan umum, harus; dengan syarat betul-betul pemanfa'atannya oleh pemerintah untuk kepentingan umum yang dibenarkan oleh syara' dan dengan ganti rugi yang memadai.

Cara yang terbaik dalam menentukan ganti rugi pengambilan tanah menurut fiqih ditempuh melalui musyawarah atas dasar keadilan dan tidak ada pihak yang merasa dirugikan.